astronaut

Rukun Hidup Bermasyarakat

by clickita on 30/11/09 at 8:52 am

RUKUN HIDUP BERMASYARAKAT

Setiap hari kita bergaul dengan ramai orang. Di sekolah, kita bergaul dengan kawan- kawan dan guru- guru. Di rumah, kita bergaul dengan jiran- jiran. Kalau ke masjid atau ke pasar, kita akan bertemu orang lain pula. Dalam setiap pergaulan kita itu, ada adab- adab budi bahasa yang perlu kita jaga. Daripada Abu Darda’ r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (akhirat) daripada budi pekerti yang mulia.” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi). Itulah rukun hidup bermasyarakat.

Kita hendaklah :

1. BERAKHLAK MULIA

Sepertimana kita mahu orang lain berbuat baik kepada kita, begitu jugalah orang lain. Mereka pun mahu dilayan dengan baik dan mesra. Bermanis muka selalu kerana kebaikan yang paling mudah sekali dibuat ialah senyum. Memberi senyuman kepada orang lain dikira sebagai sedekah.

2. TELADAN YANG BAIK

Kadang- kadang kita bergaul dengan orang yang lebih muda daripada kita. Sebab itu perlu sentiasa menunjukkan perangai yang baik. Ini kerana apa yang kita tunjukkan itu mungkin akan ditiru atau menjadi ikutan.

3. ZIARAH ORANG SAKIT

Apabila mendapat khabar ada jiran yang sakit, ziarahlah. Sama ada dia berada di rumah ataupun di hospital. Kunjungan kita itu bukan saja akan mengeratkan lagi silaturahim, malah boleh mendatangkan keinsafan betapa pentingnya menjaga kesihatan.

4. HORMATI ORANG TUA

Jangan meninggikan suara apabila bercakap dengan orang yang lebih tua. Jangan menunjukkan muka yang masam. Lebih- lebih lagi jangan persendakan mereka. Kalau kita tidak menghormati orang tua, kelak perkara yang sama juga akan berlaku kepada kita.

5. BERLAPANG DADA

Apabila berlaku salah faham, jangan terus bertindak melulu. Berbincanglah mengikut kemuafakatan bersama. Masing- masing perlu ada sikap berlapang dada dan berlebih kurang. Barulah masalah dapat diselesaikan dengan baik dan aman.

6. MENUTUP AIB

Satu lagi kecacatan dalam masyarakat ialah suka menyebarkan cerita yang tidak baik. Akhirnya timbul rasa tidak senang satu pihak dengan pihak tertentu. Oleh sebab itu, apabila sesuatu perkara yang buruk disampaikan kepada kita, jangan kita hebahkan kepada orang lain.

7. PRINSIP DAN JATIDIRI

Sekalipun hidup dalam kelompok masyarakat yang kurang mengambil berat hukum- hakam agama, jangan terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Prinsip seorang muslim ialah mentaati perintah Allah SWT. Kerjakan suruhan- Nya dan tinggalkan tegahan- Nya.

8. RINGAN TULANG

Hidup bermasyarakat bukan saja menghendaki kita pandai bergaul. Malah bersedia menghulur bantuan apabila diperlukan. Umpamanya jika ada majlis kenduri- kendara atau keramaian tertentu, libatkan diri bersama orang ramai yang bergotong royong menjayakan majlis tersebut.

  • Share/Save/Bookmark

Leave a Reply